Selamat datang ke blog 7 Lok. Menjual barangan silat, barangan seni mempertahankan diri, cenderahati, pisau dan keris Melayu.
Terdapat juga informasi tentang silat berdasarkan pengalaman penulis dalam dunia persilatan.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh hubungi penulis di talian 017-6277146

Semoga saudara/saudari gembira berada di sini.:-)

Sunday 5 April 2020

Ayat Pembuka

Di dalam latihan silat, salah satu 'ayat pembuka' yang sering diamalkan sebelum memulakan sesuatu latihan ialah dengan membaca surah Al-Fatihah, diikuti dengan doa membuka gelanggang. Bacaan ini biasanya dibaca secara serentak sama ada secara kuat atau perlahan. 

Mengikut pelajaran gelanggang yang diajar di dalam PSGLM, bacaan Surah Al-Fatihah yang dibaca tersebut diniatkan kepada tiga orang iaitu :
1. Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat,
2. Ibu bapa
3. Guru-guru (sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia)

Kelas latihan silat merupakan salah satu daripada majlis ilmu kerana di dalamnya diajar ilmu mempertahankan diri yang mana ilmu ini sangat penting bagi orang islam dan melayu terutamnya  bagi menjaga agama, negara, keluarga serta diri sendiri. Selain itu, ilmu silat juga dapat meningkatkan tahap keyakinan seseorang dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar. Kelas latihan silat juga dapat membentuk peribadi seseorang ke arah yang lebih positif selain dapat mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat. 

Memulakan sesuatu majlis ilmu dengan bacaan surah Al-fatihah adalah sesuatu yang selari dengan ajaran islam. Dengan menjaga batas-batas agama sepanjang sesi latihan dijalankan, diharapkan semua yang mengikuti latihan tersebut mendapat rahmat daripada Allah S.W.T dan dilindungi daripada sebarang perkara yang tidak diingini. 

Ilmu persilatan serta segala amalan yang terdapat di dalamnya merupakan warisan turun-temurun daripada nenek moyang bangsa melayu. Amatlah rugi bagi orang melayu sekiranya tidak mempelajari warisan turun temurun tersebut kerana di dalamnya terdapat pelbagai rahsia dan petua yang boleh dipelajari dan diamalkan. Janganlah kita memandang rendah ilmu persilatan ini apatah lagi mengagungkan seni mempertahankan diri lain yang mana terdapat sesetengahnya tidak selari dengan ajaran islam.

Semoga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat kepada semua yang membacanya. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T. dan segala yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri.

Wallahu a'lam..