Selamat datang ke blog 7 Lok. Menjual barangan silat, barangan seni mempertahankan diri, cenderahati, pisau dan keris Melayu.
Terdapat juga informasi tentang silat berdasarkan pengalaman penulis dalam dunia persilatan.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh hubungi penulis di talian 017-6277146

Semoga saudara/saudari gembira berada di sini.:-)

Tuesday 24 June 2014

Sejarah PSGLM

Pertubuhan Seni Gayung Laksamana Malaysia (PSGLM) diasaskan oleh Ustaz Ismail bin Rahim Malim Mas, seorang Pengamal Persilatan Melayu dari keturunan Minangkabau, Pagar Rayung, Sumatera, Indonesia. Beliau seorang bekas Anggota Tentera Diraja Malaysia. 

Logo hijau PSGLM.
Antara yang terawal digunakan.
Ketika keadaan negara tercuit akibat peristiwa 13 Mei 1969, masyarakat berlumba-lumba belajar Ilmu Silat untuk mempertahankan diri dan keluarga serta negara tercinta bersama-sama dengan Pasukan Pengaman Negara. Beliau pun mengumpulkan beberapa orang kenalannya untuk Di Ijazahkan Ilmu Jurus Pertahanan Dalaman.

Maka sejak itulah ianya terus berkembang dengan bilangan yang kian meningkat ke beberapa buah negeri di Tanah Air dan anak-anak murid inilah yang berusaha untuk menubuhkan sebuah Pertubuhan yang Berdaftar supaya ianya boleh bergerak dengan lebih baik ke tengah masyarakat. Pada tahun 1974, Pertubuhan Seni Gayung Laksamana Malaysia didaftarkan dengan rasminya dan bergiat cergas dengan pengambilan penuntut-penuntut baru. Pada permulaan, ianya diajarkan dengan Jurus-Jurus Kerohanian sahaja tetapi apabila telah bergiat di tengah masyarakat, latihan fizikal diperlukan, maka diperkenalkan pula dengan Gerak Langkah Persilatan.

Pada waktu ini Pertubuhan mempunyai 500 ahli sahaja. Sebagai langkah memperkenalkan Pertubuhan kepada masyarakat, Pertubuhan ini mengadakan Satu Demostrasi Besar-Besaran Peringkat Kebangsaan bertempat di Padang TPCA, Kuala Lumpur pada 28 Mei 1978 yang mana Penasihatnya; YB Dato Sri Kamaruddin Bin Mohd Isa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala YB Dato Saadon bin Mohd Noh, Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan telah sudi merasmikan demonstrasi tersebut.

Pada 1980, Kementerian Belia dan Sukan telah menaja Pertubuhan untuk satu pertandingan di peringkat ASEAN di Singapura dan YM Pak Guru Ustaz Ismail diberi penghormatan sebagai seorang Hakim dalam Pertandingan tersebut. Dikhabarkan juga bahawa YM Pak Guru Ustaz Ismail Rahim merupakan salah seorang yang terlibat dalam penubuhan PESAKA Kebangsaan .

YM Pak Guru Tabib Zakaria Hj. Uteh
sedang membuat persembahan. 
Segalanya berjalan lancar sehingga pada tahun 1984, YM Guru Utama Ustaz Ismail bin Abdul Rahim meninggal dunia. Maka gelanggang pusat pertubuhan ini dipindahkan ke Kg. mat Kilau, Jerantut, Pahang dan diterajui oleh YB Abdullah Hashim bin Mohd Ali sebagai Yang Di Pertua dan YM Pak Guru Tabib Zakaria bin Haji Uteh sebagai Guru Utama. 

Apabila YB Abdullah Hashim Bin Mohd Ali menyahut panggilan Illahi pada 1997, peranan sebagai Presiden dan Guru Utama PSGLM dipikul oleh YM Pak Guru Tabib Haji Zakaria Bin Haji Uteh sehingga ke hari ini. 

Pada tahun 1999, PSGLM telah mengadakan Sambutan Jubli Perak PSGLM yang diadakan di Jerantut, Pahang. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah telah berkenan untuk merasmikan majlis tersebut dan dianugerahkan Selempang Seri Setia DiRaja PSGLM serta dilantik sebagai Penaung Seumur Hidup PSGLM. 

Bilangan ahli PSGLM terus berkembang sehingga berjumlah 200,000 orang seluruh Malaysia dibawah kepimpinan YM Pak Guru Tabib Hj. Zakaria. Pelbagai aktiviti berjalan sepanjang tahun seperti latihan mingguan, ijazah kerohanian, mandi minyak, persembahan majlis perkahwinan, seminar dan kursus silat dan lain-lain aktiviti. Pada tahun 2011 pula, PSGLM bersama dengan PETRA Pahang telah menubuhkan sebuah koperasi yang dinamakan Koperasi Pengamal Perubatan Tradisional Gayung Laksamana Pahang Berhad (GAMAPETRA). 


Kedai Koperasi GAMAPETRA di
Bandar Lama, Jerantut.
Atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau, YM Pak Guru telah dianugerahkan gelaran "Pendekar" oleh Sultan Pahang. Disamping itu, pingat lain yang diterima oleh beliau ialah Pingat Khidmat Cemerlang (P.K.C.) dan Ahli Mahkota Pahang (A.M.P.).

Pada awal tahun 2014, PSGLM sekali lagi berjaya menganjurkan Majlis Sambutan 40 Tahun PSGLM. Majlis ini telah diadakan di Dewan Majlis Daerah Jerantut. Turut hadir merasmikan majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Jerantut, YB Hj. Ahmad Nazlan Bin Idris.

Rujukan: Fail PSGLM

* Penulis ialah salah seorang Gurulatih Kanan PSGLM.