Selamat datang ke blog 7 Lok. Menjual barangan silat, barangan seni mempertahankan diri, cenderahati, pisau dan keris Melayu.
Terdapat juga informasi tentang silat berdasarkan pengalaman penulis dalam dunia persilatan.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh hubungi penulis di talian 017-6277146

Semoga saudara/saudari gembira berada di sini.:-)

Monday 18 August 2014

Silat Olahraga

Silat Olahraga merupakan sejenis sukan tempur yang mengaplikasikan teknik dan peraturan silat di dalam permainannya. Permainan ini dimainkan oleh dua (2) orang pesilat di dalam gelanggang bulat berukuran 8 m diameter. Pesilat akan memakai pakaian silat berwarna hitam potongan baju melayu serta alat pelindung badan dan kemaluan. Pertandingan akan dimainkan dalam 3 babak / pusingan. Setiap pusingan berlangsung selama 2 @ 3 minit penuh.

Gelanggang pertandingan silat olahraga
Gambar menunjukkan gelanggang pertandingan silat olahraga yang diadakan di City Square, Johor. Kelihatan pesilat telah bersedia untuk memulakan perlawanan manakala wasit (pengadil) yang berpakaian putih berada diantara dua pesilat. Pesilat berada diluar, manakala wasit berada di dalam bulatan kecil.

Bulatan kecil dalam gambar ialah kawasan dimana pesilat dilarang memasukinya sebelum perlawanan dimulakan, dengan kata lain, jarak minimum antara dua pesilat sebelum perlawanan ialah satu bulatan kecil. Manakala bulatan besar ialah kawasan permainan dimana pesilat tidak boleh keluar daripada bulatan tersebut sewaktu perlawanan.

Antara teknik yang digunakan dalam silat olahraga ialah tumbukan, tendangan / sepakan, tangkapan, jatuhan, guntingan, sapuan, elakan dan sebagainya. Teknik dan peraturan boleh berubah dari masa ke semasa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) ataupun oleh badan silat dunia.

Teknik yang diaplikasikan di dalam silat olahraga kadangkala sedikit berbeza dengan teknik yang dipelajari daripada pertubuhan silat. Ini kerana sesetengah teknik yang diajar oleh pertubuhan boleh mendatangkan kecederaan serius ataupun kematian kepada pihak lawan. Selain itu, teknik yang digunakan dalam silat olahraga diseragamkan bagi memudahkan pihak juri menentukan markah pesilat.

Permainan silat olahraga hari ini telah semakin berkembang. Kebanyakan persatuan silat di Malaysia telah mula menggalakkan ahli-ahli mereka untuk berlatih silat olahraga sebagai pelajaran tambahan. Disamping itu, persatuan silat telah mula membuka gelanggang latihan di sekolah dan pusat pengajian tinggi di seluruh negara. Ini secara tidak langsung telah menjadikan permainan silat olahraga semakin dikenali.

Wassalam.