Artikel ini ditulis ketika negara kita Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ekoran wabak Covid -19 yang sedang melanda. PKP yang bermula pada 18 Mac 2020 kini telah dilanjutkan ke fasa ketiga sehingga 28 April 2020. Bukan negara kita sahaja, bahkan banyak lagi negara lain di dunia juga melakukan perintah kawalan pergerakan atau perintah berkurung bagi membendung wabak yang sedang melanda ketika ini. Masa lapang yang ada telah memberi ruang kepada penulis untuk mengemaskini blog ini.
Sebaik sahaja pengumuman PKP dilakukan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, orang ramai pada mulanya agak keliru tentang situasi ini. Adakah PKP ini sama seperti perintah berkurung yang telah dilakukan oleh negara lain seperti negara China atau Itali? Adakah semua jenis perniagaan tidak dibenarkan beroperasi? Adakah situasi ini dikira darurat? ada sebahagian masyarakat yang menyerbu pasaraya bagi membeli barangan keperluan bagi kegunaan sepanjang 2 minggu PKP ini (fasa pertama PKP bermula 18 Mac 2020 - 31 Mac 2020). Manakala sebahagian pula masyarakat yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur mula mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Dalam masa yang sama, pihak kerajaan mengadakan sidang media pada setiap hari bagi memberi penjelasan dan penyelesaian mengenai situasi semasa. Pelbagai bantuan dan inisiatif diumumkan oleh YAB Perdana Menteri bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan situasi semasa. Pihak-pihak swasta dan NGO juga turut serta menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan situasi ini. Anggota kesihatan dan keselamatan bertugas siang dan malam bagi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Kini telah masuk minggu keempat rakyat Malaysia menjalani tempoh PKP. Suatu tempoh yang telah merubah keseluruhan landskap kehidupan rakyat Malaysia. Sebarang aktiviti yang melibatkan perkumpulan orang ramai tidak dibenarkan. Bahkan orang ramai tidak dibenarkan berada di luar rumah tanpa sebarang sebab yang munasabah. Sekolah dan pusat pengajian ditutup. Begitu juga dengan aktiviti sukan, keagamaan, majlis perkahwinan dan seumpamanya. Kebanyakan premis perniagaan dan pejabat kerajaan ditutup kecuali yang melibatkan perkhidmatan penting seperti makanan, bahan api, air, elektrik, telekomunikasi dan seumpamanya. Bagi umat islam pula, bulan Ramadhan tahun ini yang akan bermula pada 24 April 2020, tiba sewaktu negara masih dalam keadaan kawalan pergerakan. Aktiviti bazar ramadhan dan solat terawih tidak dibenarkan. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dijangka tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya.
Apa yang sedang berlaku kini merupakan suatu catatan sejarah yang tidak mudah untuk dilupakan. Makluman awal yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, selepas tempoh PKP ini, rakyat perlu membiasakan diri dengan situasi sekarang kerana kemungkinan besar pihak kerajaan akan terus mengenakan sekatan-sekatan tertentu bagi memastikan wabak Covid-19 ini dapat diatasi dengan sepenuhnya.
Sekian, Wallahu a'lam.
Sekian, Wallahu a'lam.