Tujuan berguru ialah untuk mendapat tunjuk ajar dan panduan menuju ke jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. Berguru biar beribu asalkan panduan dan jalan yang ditunjukkan oleh guru
tersebut tidak tersasar daripada akidah islam yang sebenar.
Dalam bidang ilmu apa sekalipun, seorang guru yang beragama islam sewajarnya mengambil peluang untuk memberi nasihat dan peringatan kepada setiap murinya agar mereka tidak leka dengan kehidupan yang serba mencabar. Urusan keagamaan tidak sepatutnya diserahkan kepada guru agama sahaja. Sekiranya setiap guru mengambil peluang untuk menyeru ke jalan kebaikan, pastinya akan memberi kesan yang lebih mendalam kepada jiwa pelajar.
Indahnya silat melayu kerana dalam mendalami ilmu seni mempertahankan diri, guru yang mengajar sentiasa memberi tunjuk ajar kepada muridnya untuk menjadi insan yang diredhai oleh Allah. Ini berbeza dengan seni mempertahankan diri lain yang tidak menyeru pelajarnya mendekatkan diri kepada Allah malah mendidik pelajarnya mendedahkan aurat dan menggalakkan pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Peraturan dan pantang larang di dalam silat adalah untuk mendidik muridnya ke arah mendekatkan diri kepada Allah disamping mengamalkan adab dan sopan santun orang melayu. Permulaan latihan silat dengan berdoa dan tazkirah. Pakaian sewaktu latihan menutup aurat baik lelaki mahupun wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita tidak dibenarkan. Sepanjang latihan pula, dilatih adab dengan guru dan orang yang lebih tua. Diajar juga zikir-zikir dan amalan menggunakan ayat suci al-quran selain petua yang diamalkan oleh orang-orang dahulu. Latihan diakhiri dengan pesanan dan doa sebagai tanda mengingati Allah.
Begitulah antara unsur-unsur keagamaan yang diterap dalam diri pesilat. Selain dapat menyihatkan tubuh badan melalui aktiviti latihan fizikal yang dijalankan, pesilat juga dapat menambahkan ilmu dan amalan agama sebagai bekalan di hari akhirat. Sekiranya pendekatan yang diamalkan oleh guru silat dapat diamalkan oleh guru-guru bidang lain, nescaya cahaya islam akan bersinar dengan lebih terang.
Wallahua'lam.